* Apa itu fibroid?
Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser)
yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga
40-an.
Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada
wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.
Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang
mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi
daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.
Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar
secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.
Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan
ini, telah mencetuskan kontroversi.
Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi
pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.
* Tidak pernah mengandung
Dr. Salleh berkata, lazimnya mereka yang tidak pernah
mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.
``Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu
boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang
mengalami simptom-simptom.
``Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang
banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang
disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,'' jelas beliau.
Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan
komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan
akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau
menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan
Caesarean semasa bersalin.
Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah
keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar
dengan cepatnya.
* Diagnosis
Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah
simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila
pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.
``Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan
kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.
``Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia
juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,'' kata Dr.
Salleh.
Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana
magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga
berguna walaupun ia adalah mahal.
Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan
adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak
sukar untuk dirawat.
Katanya: ``Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah
mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung.
Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.''
* Jenis-jenis fibroid
Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami
dan pada sesetengah kes, rawatannya.
- Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan
boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.
- Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di
dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.
- Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan
selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan
mengganggu organ-organ lain.
- Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid
subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan
menyebabkan kesakitan yang amat sangat.
- Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang
kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara
itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan
kesakitan terutamanya semasa kehamilan.
- Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen
yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya
yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.
- Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid
melekat pada organ lain.
* Waktu sesuai merawat fibroid
``Fibroid perlu dirawat sekiranya ia mula menunjukkan
tanda-tanda seperti yang dijelaskan tadi.
``Ia juga difikirkan sesuai, bagi sesetengah kes apabila
seseorang wanita ingin hamil dan pandangan perubatan berbelah bahagi sama ada
fibroid perlu dirawat atau mencari peluang mengandung,'' kata Dr. Salleh.
Kadangkala, haid yang terlalu banyak boleh menyebabkan
seseorang wanita itu mendapat anemia.
Pun begitu, katanya, kebanyakan doktor bersetuju biarpun
tiada simptom-simptom, fibroid pedunkel agak jarang mencetuskan masalah besar
bagi wanita hamil.
Bagaimanapun bagi fibroid submukus, ia berkemungkinan
menyebabkan wanita lambat hamil serta mengakibatkan wanita hamil mengalami
keguguran.
Keputusan untuk merawat atau tidak sebenarnya bergantung
kepada usia wanita itu sendiri, saiz fibroid, pernah keguguran dan sama ada
rahim menjadi herot kerana kewujudan fibroid itu.
Dr. Salleh menambah, usia adalah faktor penting kerana
fibroid akan membesar di bawah pengaruh estrogen dan fibroid juga mudah
dikeluarkan di kalangan wanita muda dan ketika fibroid masih kecil lagi.
Bagi wanita yang berusia, mereka perlu berjaga-jaga apabila
membuat keputusan untuk melengahkan pembedahan.
``Bagaimanapun, wanita yang telah menjalani pembedahan
mengeluarkan fibroid perlu mengambil masa sebelum mengandung. Pakar akan
menasihati masa yang sesuai mengikut keadaan pesakit,'' ujarnya lagi.
* Rawatan fibroid
Rawatan fibroid bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid
itu.
- Rawatan hormon; terapi hormon sangat berguna kepada wanita
yang hampir menopaus dan bercadang untuk mengelak pembedahan. Bagaimanapun
terapi ini tidak banyak memberi manfaat kepada wanita yang bercadang untuk
hamil.
- Reseksi histeroskopi; lazimnya dilakukan ke atas fibroid
submukus asalkan fibroid itu berukuran kurang daripada l0 sentimeter garis
pusat. Beberapa proses dilakukan sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Pembedahan membuang fibroid ini menggunakan sejenis alat
berupa wayar khas bersama histeroskop yang dimasukkan ke dalam uterus melalui
serviks/pangkal rahim.
- Pembedahan laparoskopi atau miomektomi laparoskopi pula
adalah pembedahan bagi mengeluarkan fibroid. Intramural dan subserous boleh dikeluarkan melalui
pembedahan ini melalui dua insisi/pemotongan 10 milimeter panjang, satu di
bahagian pusat dan satu lagi di garisan abdomen.
Hanya segelintir sahaja pakar yang mengambil pilihan ini
kerana ia mengambil masa yang lama dan cukup mencabar.
- Miomektomi terbuka, pembedahan konvensional yang dilakukan
melalui insisi di bahagian bawah, memanjang atau menegak di bahagian garisan
bikini (antara ari-ari dan abdomen). Otot-otot uterus dibedah dan fibroid
dikeluarkan.
Doktor biasanya akan mengesyorkan wanita yang hamil selepas
pembedahan ini untuk menjalani pembedahan Caesarean apabila sampai masanya
untuk bersalin.
- Histerektomi bergantung kepada usia, bilangan anak,
masalah kesihatan wanita serta lain-lain faktor.
Wanita yang menjalani histerektomi tidak akan mempunyai haid
lagi kerana rahimnya sudah dikeluarkan sekali bersama fibroid.
* Nasihat pakar
Dr. Salleh menegaskan, bagi wanita yang menopaus, mereka
perlu mendapat rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda menopaus yang teruk.
Dalam hal ini, suami perlu memberi sokongan yang sewajarnya
untuk isteri dalam meneruskan kehidupan seharian termasuk dalam hubungan suami
isteri.
Beliau juga menekankan, wanita perlu menjalani ujian pap
smear secara berkala untuk mengesan kanser servik dan fibroid. Fibroid yang
aktif dan cepat membesar juga berbahaya bagi wanita.
Wanita yang melalui pembedahan perlu mengamalkan gaya hidup
sihat, pemakanan yang ideal serta melakukan senaman yang bersesuaian apabila
mereka sudah pulih sepenuhnya. Jumpalah doktor untuk nasihat selanjutnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1113&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz2ZNLnFXIC
© Utusan Melayu (M) Bhd